Wednesday, August 22, 2007

SAYA SANGGUP TERIMA CABARAN INI...

Ahad lepas, 19 Ogos 2007 saya telah menyerahkan satu sampul surat besar yang mengandungi pelbagai dokumen – pengenalan diri menawarkan diri saya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan satu set idea untuk membangunkan Bolasepak Malaysia mengikut perpspektif orang muda yang begitu meminati dan sayangkan sukan ini di tanahair kita.
Dokumen-dokumen berkenaan yang mengambil masa dua minggu untuk disiapkan telah diserahkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Darulmakmur yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia. Sampul besar itu telah diserahkan ke tangan baginda sendiri di perkarangan Wisma FAM selepas baginda menghadiri mesyaurat majlis FAM.
Saya menawarkan diri sebagai Setiausaha Agung FAM dan memberikan idea besar mengenai perimudi (navigation) untuk Bolasepak Malaysia kerana Sultan Pahang pernah bertitah bahawa “jangan hanya pandai kritik, tetapi berikan idea untuk sama-sama kita bangunkan semula Bolasepak kita.”
Baginda bertitah menyebut Bolasepak akan tetapi saya menjenamakannya sebagai BOLASEPAK MALAYSIA, difahami dalam kedua-dua bahasa utama di negara kita -- Melayu dan Inggeris.
Dan idea yang saya lakarkan menerusi power point slides, saya nyatakan kita perlukan satu pelan serius untuk membawa pasukan Bolasepak Kebangsaan Malaysia ke Piala Dunia 2014 di England. Saya katakan bahawa "kita boleh sekiranya mahu dan mampu sekiranya tahu apa hendak dibuat dan bagaimana hendak dibuatnya".
Saya cadangkan pelbagai kaedah untuk mencapai matlamat berkenaan. Namun, sehingga hari ini, Khamis, 23 Ogos 2007 saya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Baginda mahupun FAM.
Dan saya akan tetap menanti lantaran saya amat berharap diberi peluang untuk mempersembahkan idea saya kepada sesiapa sahaja yang sama-sama berminat untuk mengembalikan maruah Bolasepak Malaysia, sekiranya mereka berminat.
Dua tahun lepas, saya adalah antara 100 lebih rakyat Malaysia yang menyahut iklan FAM untuk mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Agung selepas Dato Dell Akhbar Khan mengundur diri. Permohonan saya ditolak begitu sahaja dengan sebab “saya tidak ada pengalaman dalam bidang pentadbiran sukan”.
Saya amat bersetuju bahawa pengalaman amatlah penting dan berharga.
Namun sama pentingnya juga ialah pengetahuan, minat dan komitmen untuk
melaksanakan amanah serta tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Akan tetapi setelah dua tahun, Setiausaha Agung FAM yang mempunyai pelbagai pengalaman yang amat berharga dalam bidang pengurusan sukan pun diberitakan telah meletak jawatan, berkuatkuasa 15 Ogos 2007 namun akan berkhidmat sehingga hujung bulan ini.
Sekiranya yang empunya pelbagai pengalaman meluas dalam bidang sukan juga telah tidak dapat merealisasikan objektif yang telah ditetapkan bagaimana pula peluang diberikan kepada calon yang benar-benar berminat?
Bagaimana dengan calon yang lebih muda, yang sanggup menerima cabaran dan calon yang mempunyai pelbagai idea bagaimana untuk membangunkan Bolasepak Malaysia.Sekiranya yang mempunyai pelbagai pengalaman meluas dalam bidang sukan telah tidak dapat merealisasikan objektifnya bagaimana pula kali ini peluang diberikan kepada calon yang benar-benar berminat?
Calon yang lebih muda, yang sanggup menerima cabaran dan calon yang mempunyai pelbagai idea bagaimana untuk membangunkan Bolasepak Malaysia?
Ampun Tuanku Beribu-Ribu Ampun, Sembah Patik Hamba Muda ini Pohon DiAmpun, ada pun patik telah menyembah-maklumkan hasrat di hati patik dan kini menunggu titah Tuanku Presiden FAM.
Telah dikhabar-beritakan bahawa perlantikan Setiausaha Agung FAM akan diumumkan pada hujung bulan ini bilamana persatuan itu mengadakan Mesyuarat Kongresnya. Dikhabar-beritakan juga bahawa penyandang jawatan berkenaan akan diputuskan oleh Tuanku Sultan Pahang sendiri dan individu yang akan dipilih dipercayai boleh bekerjasama dengan Tuanku dan keseluruhan warga FAM dan persatuan-persatuan bolasepak negeri.
Ampun Tuanku Sembah Patik Hamba Muda Ini Pohon DiAmpun...