Friday, August 31, 2007

MALAYSIA MASIH BOLEH!!

Ya, Malaysia Masih Boleh! Dan Malaysia Memang Boleh!

Skuad Bolasepak Kebangsaan Malaysia telah membuktikan bahawa Malaysia Masih Boleh dan Malaysia Memang Boleh! Penantian selama 14 tahun telah lebih bermakna apabila memartabatkan semula maruah Bolasepak negara di hadapan 50 ribu penonton dan pengikut bolasepak yang telah lama rindukan kegemilangan dalam sukan ini.

Syabas dan Tahniah Malaysia dan Syabas kepada Persatuan Bolasepak Malaysia!

Sekiranya negara menunggu sehingga 12 tengah malam semalam untuk merayakan ulangtahun ke 50 Kemerdekaan Malaysia, rakyat Malaysia di Stadium Shah Alam telah 24 jam terlebih dahulu merayakan makna kemerdekaan, dalam konteks ini bagi Bolasepak Malaysia daripada belenggu yang berkepelbagaian dalam mencari kejayaan yang sangat-sangat ditunggu oleh peminat setia Bolasepak Malaysia.

Alhamdulillah, masih ada lagi umat Malaysia yang meminati Bolasepak Malaysia dan sekiranya persembahan yang bertenaga, berkomitmen dan selayaknya sebuah pasukan bolasepak kebangsaan maka insyallah para peminat akan terus berada di belakang skuad kebangsaan kita. Ini telah dibuktikan di Stadium Shah Alam pada 29 Ogos 2007.

Justeru, saya ingin memetik lirik sebuah band dari seberang yang berbunyi: “Aku Ada Kerna Engkau Ada!”.
Bagi saya ini adalah antara intipati kejayaan skuad berkenaan. Dan saya adalah antara mereka yang masih percaya akan kemampuan Malaysia dalam bolasepak.
Pada 1978 saya pernah diberi peluang untuk menonton perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Burma (ketika itu) yang berkesudahan Malaysia membelasah 9-1, enam gol sahaja dijaringkan oleh Mokhtar Dahari yang mencipta double hattrick, suatu pencapaian yang tidak pernah dilakukan sebelum itu dan masih berdiri sebagai suatu rekod sehingga ini yang belum dapat dihampiri oleh sesiapa pun.
Walaupun keadaan padang begitu teruk umpama sebuah bendang di Kuala Nerang, Kedah namun Mokhtar dan rakan-rakannya membuktikan bahawa kondisi padang atau apa sahaja tidak akan menyekat mereka untuk mempamerkan komitmen dan mengapa mereka telah terpilih sebagai pemain kebangsaan Malaysia untuk mewalkili negara dan menyarung jersi kebanggaan negara di Sukan SEA itu.
Kehadiran saya di Stadium Merdeka ketika ialah sebagai Budak Pemungut Bola atau nama rasminya Junior Steward. Kami dipilih di kalangan mereka yang mewakili pasukan bolasepak sekolah masing-masing di Kuala Lumpur dan sekolah saya Sek Men St.John's Institution dikategorikan dalam Daerah Keramat dan yang antara seteru bolasepak kami ialah Sekolah Menengah Tinggi Setapak atau High School Setapak (bukannya Setapak High School)
Saya tidak akan lupa sejarah itu yang dicipta oleh wira saya, Arwah Mokhtar. T-shirt yang dipakai sebagai pemungut bola di tepi padang yang diotograf oleh Mokhtar masih tersimpan sehingga kini sebagai Kenangan Terindah...
Apapun, Syabas dan Tahniah kepada Malaysia dan Teruskan Perjuangan Ini kepada Skuad Bolasepak Kebangsaan Malaysia.
Petikan laporan Bernama…

SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai Pestabola Merdeka berakhir setelah berjaya menumpaskan juara bertahan, Myanmar 3-1 dalam perlawanan akhir kejohanan bola sepak edisi ke-39 itu yang berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini malam ini.
Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Merdeka ialah pada 1993 apabila menundukkan Korea Selatan 3-1.
Kemenangan ini juga mengembalikan kepercayaan dan keyakinan 50,000 penyokong bola sepak tanah air yang membanjiri stadium bagi sama-sama meraikan kejayaan skuad kebangsaan di bawah bimbingan B.Sathianathan. Beliau kini dilantik Pengurus Pasukan Bolasepak Kebangsaan Malaysia.
Malaysia membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi tolakan kemas di dalam kotak penalti yang dilakukan Mohd Zaquan Adha yang menerima hantaran cantik Mohd Safee Sali dari sebelah kiri dan berjaya menggelecek penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo.
Kekalutan di hadapan pintu gol Myanmar akhirnya menyebabkan pemain pertahanan pasukan pelawat, Moe Win melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 2-0, pada minit ke-56.
Empat minit kemudian, Mohd Safee membuktikan serangannya menyengat apabila meledakkan gawang lawan selepas menerima umpanan cantik dari tengah dan bergerak solo sebelum menewaskan benteng penjaga gol lawan.
Pemain gantian Myanmar, Tun Tun Win, cuba merapatkan jurang apabila memperoleh gol pada minit ke-73 selepas berjaya melepasi pertahanan Malaysia sebelum menewaskan ketangkasan Syed Adni.
Pada minit ke-87, Myanmar terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Kyaw Khing Win dikenakan kad merah dan diarahkan keluar padang kerana mengasari Mohd Zaquan Adha.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan hadiah.

Wednesday, August 29, 2007

Martabatkan Nama MALAYSIA Pada Jersi Pasukan Bolasepak Kebangsaan Kita

Saya amat tertarik dengan ulasan ini (yang dipetik dan disiarkan di bawah) di ruangan Forum Utusan Malaysia bertarikh 29 Ogos 2007. Disamping bersyukur bahawa masih ada lagi pengikut atau peminat Bolasepak Malaysia namun ulasan ini perlukan jawapan yang tepat dan cepat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sekiranya FAM memilih untuk tidak menjawab isu ini, biarlah saya (dengan sedikit pengetahuan yang ada ini untuk) menerangkan kepada penulis bahawa adalah menjadi tradisi dan amalan pasukan-pasukan bolasepak kebangsaan bagi negara-negara lain sekalipun untuk tidak menyematkan bendera negara ataupun lambing negara di jersi pasukan kebangsaan.

Lihat sahaja jersi pasukan Brazil, Jerman, England, Itali, Perancis, Belanda dan Jepun sekalipun, lambang negara atau bendera negara tidak disematkan di jersi pasukan kebangsaan, sebaliknya pasukan-pasukan kebangsaan ini mempamerkan lambang persatuan bolasepak negara masing-masing.

Contohnya iallah CBF bagi Brazil, FFF bagi Perancis, DFB bagi Jerman, JFA bagi Jepun dan Royal Dutch Football Federation (yang berlambangkan Singa) bagi Belanda. Jersi pasukan kebangsaan England tersemat lencana tiga ekor singa manakala lencana Scotland Football Association berunsurkan palang putih di atas permukaan biru gelap dan Wales pula melambangkan seekor naga. Ayam pula adalah pilihan bagi Perancis.

Mungkin ada sebuah dua negara yang tidak mempunyai lambang persatuan bolasepak negara untuk disematkan di jersi mereka dan sebaliknya meletakkan bendera negara sebagai ganti. Antara negara itu mungkinlah Singapura dan Thailand. Negara-negara lain mengekalkan tradisi dan amalan semua persatuan bolasepak negara masing-masing. Ini termasuklah Indonesia yang menyematkan lencana mereka.

Tradisi ini juga dipanjang-lebarkan ke pasukan-pasukan bolasepak negeri di Malaysia. Di blog ini sahaja saya telah sertakan lencana-lencara persatuan bolasepak negara kita Malaysia, Persatuan Bolasepak Negeri Kedah Darulaman dan lambang yang tersemat di jersi pasukan bolasepak kebangsaan negara Belanda.

Saya merasakan adalah tidak wajar kita mempersoalkan mengapa bendera negara atau lambing negara tidak disematkan di jersi pasukan kebangsaan. Bagaimanapun penulis telah mencadangkan agar nama Malaysia diletakkan di belakang jersi. Bagi saya ini adalah cadangan yang baik dan perlu mendapat perhatian FAM.
Apa salahnya meletakkan perkataan “Malaysia” di bahagian atas jersi kebangsaan kita?

Satu idea yang bagus, bukan ka?


Saya petik surat pembaca berkenaan di sini…

Hairan Jersi Pasukan Negara Tiada Lambang Malaysia
SAYA sempat menonton beberapa perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan kebangsaan pada Pesta Bola Sepak Merdeka dan saya tertanya-tanya sama ada pasukan tersebut mewakili negara atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini kerana saya perasan di jersi pemain-pemain hanya dilekatkan lambang FAM dan tiada bendera Malaysia.
Ia seolah-olah FAM itu lebih besar dari negara Malaysia sendiri dan juga ia menunjukkan pasukan tersebut mewakili sebuah persatuan dan bukannya negara.
Kalau pasukan tersebut mewakili negara Malaysia yang tercinta ini kenapa tidak dilekatkan bendera Malaysia di jersi pemain-pemain?
Ia dengan jelas menunjukkan bahawa FAM sendiri tidak mempunyai semangat patriotik tetapi mereka menerima geran dari kerajaan Malaysia.
Amat sedih ini berlaku dalam suasana Malaysia sedang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 di mana rakyat disuruh meraikannya dengan menggantung bendera Malaysia di rumah, premis perniagaan, kenderaan dan pejabat-pejabat.
Bagaimana kita mahu mengharap para pemain kita mempunyai semangat juang dan patriotik yang tinggi kalau mereka lihat pada jersi mereka yang ada hanya lambang FAM dan tiada bendera Malaysia?
Lihatlah negara Lesotho, walaupun jersi mereka tidak dilekatkan bendera negara mereka tetapi di bahagian belakang jersi mereka ditulis nama negara mereka.
Saya hairan mengapa kalangan pegawai FAM, perkara kecil semacam ini pun boleh terlepas pandang.Walaupun ini mungkin perkara kecil tetapi ia melibatkan maruah negara. – AHMAD HUSSAIN RANGKUTI